Terkini

Raja Puan Besar Perak Mangkat


Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, 75, mangkat pada petang Selasa bersamaan dengan 3 Oktober 2017.



Baginda mangkat pada pukul 5.07 petang bersamaan dengan 12 Muharram 1439 Hijrah, Selasa.


Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataan media menerusi Pejabat Menteri Besar, Dr Zambry mengumumkan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Negeri Perak akan berkabung sehingga selesai permakaman dan bendera negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah dikibarkan separa tiang.


Menurut Dr Zambry, ia adalah sebagai tanda bersedih dan duka cita dengan kemangkatan isteri Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Raja Musa tersebut.


Jenazah Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku akan disemayamkan di Istana Ar-Ridzuan, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh.


Rakyat jelata boleh memberi penghormatan terakhir mulai pukul 10.00 pagi hingga 11.30 pagi manakala bagi pembesar negeri dan orang kenamaan bermula pukul 11.30 pagi.


Jenazah Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku akan dimakamkan di Makam DiRaja Kuala Kangsar selepas solat Asar pada hari Rabu, 4 Oktober 2017 masihi bersamaan 13 Muharram 1439 Hijrah.


“Saya Dr. Zambry Bin Abd Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhumah Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah SWT dalam kalangan para solehah."


Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Puan Besar Perak pada 1 Julai 2014 serentak dengan pemasyhuran Raja Jaafar Raja Muda Musa sebagai Raja Muda Perak.


Almarhum yang dilahirkan pada 18 Oktober 1942 di Kuala Lumpur, berkahwin dengan Raja Jaafar pada tahun 1970 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Raja Shah Azman, 43, dan Raja NorAzwina, 41.


Baginda yang pernah menjadi guru ketika ini menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.


Perasaan cintanya terhadap warisan Perak membolehkan baginda mengetuai jawatankuasa menghasilkan buku meja kopi edisi terhad yang diberi tajuk Warisan Santapan Darul Ridzuan yang menyenaraikan resepi makanan tradisi Perak seperti rendang tok, ayam masak putih, gulai tempoyak, jeruk maman dan seri kaya nangka.


Share this:

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Sekejung Network(003413624-V)