Terkini

Adab Berkomunikasi Yang Berhemah Yang Disarankan Imam Ghazali

Mari kita renung dan amalkan adab bergaul yang disarankan Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin.



Pertama, jangan memandang kecil, rendah atau hina kepada sesiapa pun sama ada yang masih hidup mahupun sudah mati kerana bersikap demikian akan membinasakan diri.


Sebenarnya kita tidak mengetahui mungkin orang itu lebih baik nasibnya daripada kita di kemudian hari. Sekalipun orang itu pada zahirnya fasik dan jahat, tidak mustahil nasib begitu akan menimpa diri kita sendiri sehingga mengakhiri hayat dalam keadaan fasik dan jahat.


Sedangkan orang yang kita anggap fasik dan jahat itu pula yang mengakhiri hayatnya dalam keadaan baik dan soleh.


Kedua, jangan menilai seseorang itu menurut keadaan dunianya lalu kita memuliakannya kerana dunia itu kecil di sisi Allah SWT. Jangan sampai kita menjual agama semata-mata untuk mendapatkan keduniaan sehingga anda dipandang rendah di mata orang yang memberinya.



Ketiga, jangan cuba menentang orang lain, sehingga berlaku permusuhan, melainkan jika anda melihat kemungkaran dilakukan oleh orang itu, maka ketika itulah anda boleh menentang kemungkaran yang dilakukannya itu.


Keempat, jangan berasa puas hati apabila mendengar pujian orang depan anda atau berasa senang apabila ditunjukkan rasa kemesraan dan muka manis kerana yang demikian itu belum tentu timbul dari hakikat batinnya.


Kelima, jangan sekali-kali mengadu segala hal ehwal anda baik kesusahan dan sebagainya kepada orang lain sebab dibimbangi Allah SWT akan murka dan diserahkan semua urusan anda kepada orang itu.


Keenam, jangan mengharapkan orang lain bersikap sama terhadap anda apabila berada di belakang, seperti yang anda kenal kepadanya ketika berdepan dengan anda. Harapan semacam itu adalah sia-sia belaka dan tidak betul.


Ketujuh, jangan terlalu mengharapkan untuk memiliki apa-apa yang ada dalam tangan orang lain, nescaya anda akan dipandang hina olehnya tetapi apabila anda meminta sesuatu benda daripada seorang kawan, lalu diberinya, maka itulah kawan yang berfaedah. Tetapi jika ia tidak memberinya, maka janganlah anda mencacinya kerana kelak ia akan menjadi lawan yang bukan mudah untuk anda menghadapinya.


Kelapan, jangan membuang masa menghamburkan nasihat kepada orang tidak mahu menerima nasihat, bahkan ia akan memusuhi anda. Jika perlu dinasihatkan, hendaklah dengan sindiran atau memberi pelbagai contoh seperti bercerita tanpa merujuk kepadanya.


Kesembilan, jika anda mendengar orang itu pernah mencela atau membuat keburukan terhadap diri anda, maka sebaik-baiknya serahkan perkara itu kepada Allah SWT serta berlindung kepada-Nya daripada sebarang bahaya.


Ingatlah, jangan cuba memikirkan sebarang rancangan balas terhadap perbuatannya itu kerana ia akan lebih membahayakan diri anda. Orang yang pernah melakukan salah terhadap diri anda, hendaklah tetap menunaikan semua hak mereka.


Sepuluh, waspadalah daripada berkawan dengan semua peringkat manusia sebab bukan semua orang dapat memaafkan kekhilafan, mengampunkan kesalahan atau menutup keburukan. Tetapi biasanya mereka berkira sangat atas yang kecil dan besar serta mendengki terhadap yang sedikit dan banyak.


Sebelas, jangan segera menyatakan kecintaanmu kepada orang yang anda belum kenal kesetiaannya dengan cara teliti tetapi hendaklah berkawan dengannya dalam waktu yang panjang untuk melihat adakah anda senang perangainya.


Demikianlah secara ringkasnya yang perlu kita renungkan dan amalan supaya kita dapat bergaul dengan orang lain secara baik dan berhikmah.


SUMBER

Share this:

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Sekejung Network(003413624-V)