Terkini

Mereka Baru Mula Berkerjaya Beli Rumah atau Beli Kereta Dahulu?

Nak beli rumah dulu atau kereta dulu, mana satu yang lebih berbaloi? Memang menjadi dilema bagi kebanyakkan orang terutama sekali untuk mereka yang baru hendak memulakan kerjaya. Perkara normal yang memang biasa berlaku. Sama ada nak membeli rumah atau kereta? Persoalan ini berlaku kerana merasakan kedua-duanya penting. Dan kedua-duanya memerlukan bajet yang agak mahal harganya. Jadi nak buat keputusan memang satu kesukaran.



Namun jelas sekali ada kelebihan dan kekurangan setiap satunya. Duit pendahuluan untuk membeli kereta adalah rendah dan anda boleh terus mendapatkannya. Ia bakal memudahkan untuk bergerak ke mana-mana terutama apabila melibatkan soal tugasan dan pekerjaan mahupun yang berkeluarga.


Yang pasti, komitmen untuk pembelian kereta tidaklah menakutkan sangat. Apatah lagi kalau mendapatkan kereta terpakai yang jauh lebih murah dari kereta baharu. Malangnya, nilainya sebuah kereta akan kekal menyusut dan lambat-laun nanti perlu diganti. Jika beli kereta terpakai pula, mungkin terpaksa keluarkan kos tambahan jika kereta itu bermasalah. Silap haribulan, baru pakai beberapa bulan, sudah alami pelbagai kerosakan yang besar.



Berbeza dengan membeli sebuah rumah di awal kerjaya. Rumah pula sentiasa meningkat nilainya dan kebiasaannya anda hanya perlu beli sekali saja. Tetapi, agak parah juga bila perlu membayar wang pendahuluan atau wang cengkeram. Ingin membeli rumah melibatkan kos yang sangat tinggi dan anda akan terikat dengan bayaran bulanan yang sangat lama.


Suka atau tidak, nak atau tak anda memang tetap kena bayar walaupun ekonomi berubah atau jadi tak stabil. Sesetengah orang kata, baik anda berjimat dan beli rumah dahulu. Dan ada pula orang lain cakap, bila dah cukup duit nak bayar rumah, tentu harganya dah melambung tinggi, jadi lebih baik beli kereta terlebih dahulu.


Sudah tentu tiada jawapan yang betul atau salah dalam hal ini. Walaupun ramai pakar kewangan akan cakap lebih baik beli rumah, tapi tak ramai yang benar-benar bersedia untuk komit dirinya dengan plan kewangan sedemikian.


Apatah lagi apa yang membimbangkan jika berlaku masalah kewangan seperti dibuang kerja dan dipotong gaji. Senang cakap, beli rumah perlukan komitmen yang amat besar berbanding kereta walaupun kedua-duanya adalah pilihan yang membabitkan duit yang banyak.


Untuk memudahkan anda membuat keputusan yang lebih bijak, segalanya terpulang pada penilaian anda. Mana satu yang menjadi keperluan melebihi kehendak? Mana satu adalah semata kehendak dan bukannya keperluan? Tak dinafikan yang setiap orang akan mempunyai keperluan yang berbeza.


Sesetengah menganggap kereta adalah perkara utama dalam kehidupan kerana melibatkan pekerjaan dan pergerakan diri dari satu tempat ke tempat yang lain. Ada pula orang mengangap bahawa rumah adalah aset penting untuk kehidupan selesa buat diri dan keluarga untuk masa akan datang.


Betul, semuanya bergantung kepada keperluan. Jika anda boleh duduk sekali dengan ibu bapa atau sewa rumah dengan murah seperti berkongsi dengan beberapa teman tetapi terpaksa dan tak tahan nak naik turun pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, kereta adalah pilihan yang bijak.


Sebaliknya, jika anda nak bina kerjaya dan keluarga, menyewa untuk jangka panjang bukanlah sesuatu yang efektif kos.


Adakah anda dah cukup duit simpanan untuk membayar duit pendahuluan bagi kedua-dua rumah dan kereta? Dan persoalan yang tak kurang pentingnya, adakah anda berkemampuan untuk membayar secara bulanan dengan kos selenggara sekali?


Kedua-duanya memerlukan kos selenggara samada memiliki rumah sendiri ataupun kereta. Kalau boleh semua benda pun kita nak ada, tapi realitinya tak semua kita akan mampu! Periksa dulu keadaan kewangan anda, dan buat keputusan berdasarkan kemampuan dan bukannya nafsu.


Jika anda betul dan sangat beringinan, tetapi kurang mampu dari segi kewangan, maka kenalah cari inisiatif lain untuk menjana pendapatan serta kedudukan kewangan yang lebih kukuh.


Gaya hidup merupakan sesuatu yang bergantung kepada diri sendiri. Namun, ia bakal mempengaruhi kedudukan kewangan anda serta memberikan impak kepada keputusan yang mana mahu anda beli dahulu rumah atau kereta.



Bagi sesetengah orang, menyewa tempat tinggal bukanlah satu masalah besar baginya, tetapi rasa agak kurang selesa untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Jadi keputusan lebih cenderung untuk memiliki kenderaan sendiri.


Pun begitu, ianya bukan bermaksud mereka yang memilih untuk membeli kereta tiada kemampuan untuk mendapatkan rumah sendiri. Cumanya ia akan memakan masa yang lebih sikit untuk kumpulkan duit rumah tersebut apabila sudah mula berhutang disebabkan bayaran bulanan kereta atau mungkin perbelanjaan harian.


Lebih-lebih lagi, soal pembelian rumah ini, semakin lama anda bertangguh, pasti sekali harganya semakin meningkat dan menjadi masalah di luar kemampuan kewangan.


Lihat keadaan kewangan terkini anda, lebih-lebih lagi rekod hutang yang ada. Ini merupakan perkara terpenting. Hutang bukanlah satu perkara yang boleh dibawa main-main. Dalam agama sendiri, berhutang tidak digalakan. Silap haribulan, apabila tiba saat anda tidak mampu nak membayar, anda mungkin terjerumus ke situasi sukar yang berkemungkinan diisytiharkan muflis.


Mungkin ramai yang tak tahu, untuk mendapatkan pinjaman pembelian rumah, ia akan melibatkan lebih banyak perkara berbanding mendapatkan kelulusan pinjaman kereta. Ini adalah disebabkan oleh harga jualan yang jauh berbeza. Oleh itu, anda perlu ada rekod hutang yang baik.


Ini bermakna, dalam mana-mana situasi, anda perlu ada hutang untuk menghasilkan satu rekod hutang yang baik sebagai rujukan pihak bank. Ada kala, walaupun tidak pernah mempunyai hutang, pihak bank atau institusi kewangan akan sukar untuk meluluskan pinjaman, disebabkan tiada rujukan yang sah untuk penilaian kemampuan.


Tanpa rekod hutang, bank sukar untuk membuat keputusan sebab mereka tak dapat membayangkan samada anda pembayar hutang yang baik atau sebaliknya.


Kesimpulannya, setiap daripada kita ada gaya hidup dan kehendak berbeza dan tersendiri, jadi tiada formula hitam putih dalam menentukan apa yang wajar untuk dilakukan. Jika kita lihat, ada sahaja mereka yang mampu dan boleh memiliki kedua-dua kereta dan rumah tapi masih cukup makan dan tak nampak papa kedana.


Dan hal ini juga berlaku pada mereka yang baru sahaja bergelar lepasan graduan dan yang baru bekerjaya. Kemungkinan besar, mereka golongan orang yang telah melakukan langkah persediaan lebih awal dalam mengumpul modal sendiri.


Yang menariknya, dalam pembelian rumah dan yang sering menjadi kebiasaan, anda boleh membeli rumah dengan berkongsi hutang tersebut bersama pasangan anda.


Jadi, satu lagi dilemma yang mungkin wujud iaitu nak membeli rumah atau kenderaan dengan mahu mendirikan rumahtangga terlebih dahulu.


Semua ini sebenarnya melibatkan perancangan kewangan yang betul. Jadi, anda perlu ada ilmu menguruskan kewangan supaya segala keperluan yang anda mahukan tidak menjadi satu masalah atau beban.


Paling penting, kena pastikan apa jua pilihan yang telah ditetapkan, ia tidak akan membawa diri anda ke tahap perlu 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Boleh amalkan cara dan tips untuk berjimat tetapi elakkan supaya menjadi mudarat.


SUMBER

Share this:

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Sekejung Network(003413624-V)