Terkini

10 Khasiat Kacang Kuda Kepada Kesihatan yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat kacang kuda kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat kacang kuda, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.



Siapa sahaja yang tidak kenal akan kacang kuda, sejenis makanan yang sering dijadikan snek oleh rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah penyediaan kacang kuda sebagai snek antaranya adalah merebus ataupun digoreng bersama sambal.


Selain dijadikan snek, kacang kuda juga digunakan di dalam penyediaan makanan terutamanya penyediaan makanan masyarakat India. Kacang kuda atau nama saintifiknya Cicer arietinum merupakan sejenis legum yang berasal dari keluarga Fabaceae. Pokok kacang kuda mempunyai ketinggian antara 20 ke 50 cm dan mempunyai daun yang bersaiz kecil.


Kacang pula boleh didapati di dalam pod pada pokok tersebut di mana setiap pod mempunyai antara 2 ke 3 biji kacang kuda. Adakah anda tahu apakah kebaikan kacang kuda terhadap kesihatan tubuh badan? Artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut akan kebaikan kacang kuda kepada kesihatan.



Setiap 100 g kacang kuda dapat membekalkan sebanyak 365 kcal tenaga. Bagi makronutrisi pula, ianya dapat membekalkan sebanyak 20.4 g protein, 59.4 g karbohidrat, 2.6 g serat dan 5.1 g lemak. Bagi kandungan mikronutrisi pula, ianya dapat membekalkan sebanyak 144 mg kalsium, 6.9 mg zat besi, 835 mg kalium dan 7 mg natrium.


Berikut merupakan antara komponen berkhasiat yang boleh didapati di dalam kacang kuda.


1. Karotenoid


Karotenoid adalah sejenis pigmen yang memberikan warna yang terang kepada tumbuh-tumbuhan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Kehadiran karotenoid ini memberikan warna seperti merah, kuning dan jingga kepada tumbuh-tumbuhan. Antara karotenoid yang terdapat di dalam kacang kuda adalah B-karotin, lutein, zeaxanthin, B-crytoxanthin dan likopena.


2. Isoflavon


Isoflavon adalah komponen yang tidak asing lagi bagi kumpulan legum. Benih kacang kuda mengandungi beberapa kandungan fenolik seperti isoflavon biochanin A dan formononetin.


Berikut merupakan antara 10 khasiat kacang kuda terhadap kesihatan.


1. Mengurangkan paras kolesterol


Terdapat dua jenis kolesterol di dalam darah iaitu kolesterol baik seperti HDL dan kolesterol tidak baik seperti TG, LDL dan VLDL. Peningkatan jumlah kolesterol tidak baik dapat meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit yang berkait dengan sistem kardiovaskular.


Kacang kuda mengandungi komponen serat larut yang dapat mengurangkan paras kolesterol di dalam darah. Kandungan isoflavon yang terdapat di dalamnya juga dapat membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.


2. Mengawal paras gula di dalam darah


Penyakit kencing manis adalah penyakit di mana paras gula di dalam darah melebihi paras normal dan ini boleh disebabkan oleh kekurangan insulin ataupun insulin yang kurang sensitif di dalam badan.


Kacang kuda mengandungi kandungan kanji tahan dan amilosa yang tinggi yang menyebabkan gula lambat diserap masuk ke dalam salur darah.


3. Mencegah kanser


Kanser adalah penyakit yang disebabkan oleh pembahagian sel yang tidak terkawal lalu membentuk sekumpulan sel yang tidak normal.


Pengambilan kacang kuda menyumbang kepada pengambilan butyrate, sejenis komponen yang dapat menghentikan pembahagian sel dan mengurangkan risiko kanser kolon.


Kandungan karotenoid di dalamnya juga dapat mengurangkan risiko mendapat kanser.


4. Membantu menurunkan berat badan


Pernahkah anda cuba untuk menurunkan berat badan? Menurunkan berat badan merupakan antara proses yang sukar dan memakan masa yang lama namun ianya tidak mustahil dengan cara dan kaedah yang betul.


Tahukah anda bahawa makanan yang mengandungi serat yang tinggi dapat membuatkan kita berasa kenyang dengan lebih lama. Ini mengurangkan pengambilan makanan yang berlebihan dan membantu proses penurunan berat badan.


5. Meningkatkan kesihatan usus


Masalah sembelit dan cirit-birit merupakan antara masalah yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Kajian mendapati bahawa pengambilan kacang kuda membantu meningkatkan kesihatan usus di mana ianya meningkatkan frekuensi untuk membuang air besar, memudahkan proses pengeluaran najis dan melembutkan najis.


6. Kaya dengan sumber karotenoid


Seperti yang diterangkan di atas, karotenoid merupakan antara komponen berkhasiat yang terdapat di dalam kacang kuda. Antara kepentingan karotenoid adalah meningkatkan aktiviti sel natural killer iaitu sejenis sel di dalam sistem imunisasi badan.


7. Digunakan di dalam perubatan tradisional


Selain dijadikan makanan, kacang kuda juga digunakan untuk perubatan tradisional. Antara penggunaan kacang kuda untuk tujuan perubatan adalah untuk mengubati penyakit kecacingan, mengurangkan kepanasan di dalam perut, mengubati masalah tekak, penyakit kulit dan lain-lain.


8. Kaya dengan sumber zat besi


Anemia adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh kekurangan sel darah merah. Antara komponen yang diperlukan untuk penghasilan sel darah merah adalah zat besi. Kacang kuda merupakan antara makanan yang kaya dengan sumber zat besi.


Pengambilan makanan yang tinggi zat besi bersama makanan yang tinggi vitamin C dapat membantu penyerapan zat besi. Oleh itu, setiap kali anda mengambil kacang kuda, jangan lupa tambahkan sekali makanan ataupun minuman yang tinggi kandungan vitamin C.


9. Mengawal paras tekanan darah


Penyakit darah tinggi adalah apabila paras tekanan darah melebihi paras normal tekanan darah dan ini boleh mendatangkan bahaya seperti serangan angin ahmar. Kacang kuda mengandungi kandungan kalium yang tinggi di mana makronutrisi ini dapat membantu untuk menurunkan paras tekanan darah. Kacang kuda juga mengandungi kandungan natrium yang rendah.


Namun anda harus berhati-hati jika membeli kacang kuda yang sudah siap dimasak kerana mungkin terdapat tambahan garam di dalamnya.


10. Menjaga kesihatan sistem saraf


Kacang kuda mengandungi kandungan kolin sejenis komponen yang dapat menyokong fungsi otak dan sistem saraf. Kolin diperlukan untuk penghasilan acethycholine sejenis komponen yang diperlukan untuk fungsi mood, memori, pengawalan otot dan lain-lain.


Kesimpulannya, terdapat pelbagai kebaikan yang dapat diperolehi daripada kacang kuda. Namun pengambilannya haruslah secara bersederhana kerana pengambilan yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.


SUMBER

Share this:

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Sekejung Network(003413624-V)