Apakah khasiat kacang panjang pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat kacang panjang, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.
Kacang panjang ataupun nama saintifiknya Vigna unguiculata subsp. sesquipedalis merupakan sejenis tumbuhan yang berketinggian antara 8 ke 12 kaki dan tumbuh dengan memanjat dan melilit pada penyokong. Ianya tumbuh di kawasan tanah gambut, BRIS atau tanah bekas lombong.
Tumbuhan ini berasal dari negara Afrika dan kebiasaannya tumbuh di kawasan dan zon panas. Di Malaysia, kacang panjang sering dijadikan ulam-ulaman yang dimakan bersama nasi putih. Apakah kebaikan kacang panjang terhadap kesihatan tubuh badan kita? Artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut akan kebaikan kacang panjang terhadap kesihatan.
Kacang panjang merupakan antikanser. Mengubati penyakit seperti leukemia, gangguan saluran kencing, reumatik, sakit pinggang, pembengkakan dan antivirus.
Setiap 100 g kacang kuda dapat membekalkan sebanyak 33 kcal tenaga. Bagi makronutrisi pula, ianya dapat membekalkan sebanyak 2.1 g protein, 4 g karbohidrat, 1.4 g serat dan 0.9 g lemak. Bagi kandungan mikronutrisi pula, ianya dapat membekalkan sebanyak 61 mg kalsium, 0.8 mg zat besi, 53 mg kalium dan 5 mg natrium.
Kacang panjang juga mempunyai pelbagai komponen yang berkhasiat. Antaranya adalah mangan, asid folik, beta karotin, vitamin C dan pelbagai lagi di mana kebaikannya akan dibincangkan di bawah.
1. Rendah kandungan kalori
Tahukah anda sayur-sayuran merupakan antara makanan yang rendah kandungan kalorinya? Setiap 100 g kacang panjang hanya mengandungi sebanyak 33 kcal tenaga. Satu jumlah yang rendah bukan?
Dengan mengambil sayuran ini, anda dapat mengawal pengambilan kalori harian tetapi masih tetap merasa kenyang jika diambil secara seimbang bersama dengan kumpulan makanan yang lain. Jadi bagi sesiapa yang ingin menurunkan berat badan jangan lupa untuk tambahkan sayuran di dalam diet harian ya.
2. Meningkatkan kesihatan sistem penghadaman
Sembelit merupakan antara masalah yang berkait dengan sistem penghadaman di mana pengalaminya akan mengalami masalah untuk membuang air besar. Kacang panjang merupakan sayur yang mengandungi sumber serat dan dapat meransang proses pergerakkan usus (peristalsis) lalu dapat mencegah masalah sembelit.
3. Sumber serat harian
Tahukah anda berapakah jumlah serat yang perlu kita ambil sehari? Seorang lelaki atau wanita dewasa disarankan untuk mengambil sebanyak 25 ke 30 g serat sehari namun kajian mendapati bahawa pengambilan serat harian kita masih tidak mencukupi.
Keperluan serat harian dapat dipenuhi dengan pengambilan 2 hidangan buah, 3 hidangan sayur-sayuran dan 1 hidangan makanan bijirin penuh sehari. Kacang panjang merupakan antara sumber serat di dalam makanan anda dan pengambilannya membantu untuk mencukupkan keperluan serat harian.
4. Bagus bagi pesakit diabetes
Pesakit diabetes sering mengalami masalah untuk mengawal paras gula di dalam darah mereka. Seringkali pemeriksaan gula di dalam darah selepas makan menunjukkan peningkatan gula yang agak tinggi.
Tahukah anda bahawa dengan menambah serat di dalam diet dalam membantu pesakit diabetes untuk mengawal gula di dalam darah mereka. Selepas ini, pastikan makanan yang diambil oleh anda seimbang dari semua jenis kumpulan makanan untuk pengawalan paras gula yang lebih baik.
5. Kaya dengan sumber folat
Antara sumber folat yang terdapat pada kacang panjang adalah asid folik. Antara kebaikan asid folik adalah dapat mencegah spina bifida iaitu kecacatan pada bayi dan sangat penting untuk diambil oleh wanita yang sedang merancang untuk hamil, diperlukan untuk penghasilan DNA dan RNA, nutrisi untuk otak, membantu pembahagian sel dan pelbagai lagi.
6. Kaya dengan vitamin C
Pasti ramai yang sudah tahu akan kebaikan vitamin C. Vitamin C merupakan sejenis vitamin larut air yang mempunyai pelbagai kebaikan seperti dapat mencegah skurvi.
Skurvi adalah salah satu penyakit di mana badan kekurangan vitamin C. pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam diet sehari dapat mencukupkan keperluan vitamin C seharian, tidak perlu untuk membelanjakan duit untuk membeli suplemen tambahan lagi.
7. Menjaga kesihatan kulit
Siapa yang tidak mahu kulit yang sentiasa sihat dan kelihatan sihat. Kacang panjang mengandungi vitamin C yang dapat menjaga kesihatan kulit kerana vitamin C dapat membantu mengurangkan kedutan, melambatkan proses penuaan dan membantu penghasilan kolagen.
8. Mencegah radikal bebas
Radikal bebas adalah komponen yang dapat menyebabkan kerosakkan pada sel. Kacang panjang mengandungi beberapa komponen yang bersifat antioksida seperti vitamin C yang dapat mencegah oksidasi yang disebabkan oleh radikal bebas.
9. Meningkatkan sistem imunisasi
Sistem imunisasi adalah salah satu sistem pada tubuh badan kita yang berfungsi untuk melindungi diri bahaya dan serangan patogen luar. Kacang panjang mengandungi vitamin B1 yang dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh badan. Vitamin B1 membantu pengeluaran asid hidroklorik yang dapat membantu penghadaman dengan lebih baik.
10. Kaya dengan vitamin K
Vitamin K mempunyai pelbagai kebaikan terhadap kesihatan antaranya adalah menjaga kesihatan jantung, mencegah masalah kerapuhan tulang, dan mencegah masalah Alzheimer’s.
Kesimpulannya terdapat pelbagai kebaikan yang dapat diperolehi daripada pengambilan kacang panjang. Oleh itu, rajin-rajinlah untuk menambah sayur di dalam diet seharian anda. Pengambilan diet yang seimbang mengikut saranan pasti membantu meningkatkan taraf kesihatan dan berupaya untuk mencegah pelbagai jenis penyakit.
SUMBER
Catat Ulasan