Seringkali kita dengarkan apabila bulan puasa hampir tiba, banyak desas-desus bermula tentang keinginan untuk diet dan turunkan berat badan.
Ramai yang kata ingin lakukan demi kesihatan, tidak kurang juga yang ingin kelihatan ramping berseri di pagi Hari Raya. Namun, berapa ramai antara kita yang benar-benar dapat mencapai azam itu? Berikut adalah antara sebab kegagalan mencapai target turun berat badan pada bulan Ramadhan.
1. Corak pemakanan yang tidak tetap
Ramai antara kita yang seronok makan ketika berbuka, menjamah sedikit sebelum terawih, ditambah lagi dengan moreh sebelum sahur di awal pagi. Adapun anda dinasihatkan untuk menjamah lebih pada waktu malam, sila elakkan pengambilan makanan berat sebelum tidur.
Metabolisme badan turun ketika tidur dan makanan yang diambil sebelum tidur tidak akan diproses dengan betul dan mungkin lebih disimpan sebagai lemak berbanding digunakan sebagai tenaga. Hadkan pengambilan makanan berat hanya ketika berbuka dan sahur.
2. Tidak kekal hidrat
Pengambilan air yang cukup adalah sangat penting untuk keseimbangan tenaga dan berat badan. Tanpa kadar kehidratan yang cukup, badan akan sering lesu dan penggunaan tenaga berkurangan. Semua ini menyebabkan anda kurang bergerak dan menambah kumpulan lemak daripada semua makanan yang diambil tadi.
Banyakkan minum air (terutamanya air kosong/mineral) antara waktu berbuka dan sahur. Hadkan pengambilan air manis atau berkarbonat.
3. Kekurangan buah-buahan, sayur dan serat
Kelancaran pergerakan usus anda adalah sangat penting untuk mengimbangkan serapan tenaga dan zat untuk kesihatan badan. Cuba pandang kiri dan kanan bazar ramadhan. Segala jenis makanan ayam, daging dan ikan dihidang dengan hanya segenggam sayuran.
Beli sayuran yang tahan lama seperti timun dan lobak yang boleh dimakan begitu sahaja dan tambahkan kepada hidangan yang anda beli atau masak pada awalnya. Cuba tukarkan masa moreh kepada makanan snek buah-buahan dan air kosong dan rasakan perbezaannya.
4. Berhenti sebelum kenyang
Berapa kali anda berbuka puasa sehinggakan pergerakan solat Maghrib dan Solat Isyak anda terbatas dek kerana perut yang terlalu penuh? Amalkan pengambilan kalori yang berpada-pada dan hadkan bilangan kuih dan pinggan sampingan anda. Berhenti sebelum kenyang. Beli dan masak makanan yang anda perlu dan bukan berpandukan nafsu.
Inginkan cara mudah? Cuba kuncikan peringatan menggunakan telefon bimbit anda supaya berhenti makan selepas 15 minit. Hidangkan makanan hari-hari berikutnya menurut jumlah yang anda makan dalam tempoh itu. Anda dapat mengurangkan pembaziran serta menghadkan pengambilan kalori. Dua kerja dalam satu masa!
5. Aktiviti fizikal
Benar, anda tiada tenaga untuk ke gimnasium. Berenang pula makruh. Lebihkan berjalan. Pergi ke taman pada waktu petang untuk riadah ringan. Sekiranya anda biasa bersukan ketika puasa, teruskan. Sekiranya tidak, mulakan dengan aktiviti ringan. Ada sesetengah orang yang bertukar kepada aktiviti fizikal pada waktu malam. Namun nasihat saya, baik penuhkan masa itu untuk terawih.
6. Rehat dan tidur yang cukup
Badan memerlukan rehat yang cukup untuk mengimbangi penggunaan tenaga. Sekiranya banyak masa tidur malam anda terkorban dengan masa terawih dan sahur, amalkan “power nap” pada waktu tengahari sebelum zuhur. Hanya 20-30 minit diperlukan untuk kembali rasa segar.
7. Masa untuk berhenti “fastfood” dan makanan ringan (junk food)
Kalau anda jenis yang asyik mengunyah pada siang hari waktu bekerja dan asyik berkunjung ke restoran “fastfood”, inilah masanya untuk merubah semua itu dan bawakan tabiat baru ini ke masa selepas Ramadhan.
Masih belum terlambat untuk anda mencuba semua nasihat di atas dan sekiranya berjaya untuk anda teruskan ke amalan puasa enam dan puasa-puasa sunat yang lain.
Banyak lagi kaedah “intermittent fasting” yang terbukti selamat dan berkesan, namun nasihat yang saya berikan adalah cara mudah untuk dibawa bersama ke amalan puasa yang kita sama-sama lakukan.
Selamat mencuba dan selamat menjalani ibadah puasa.
SUMBER
Catat Ulasan