Terkini

Khasiat Asam Keping Untuk Kesihatan Yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat asam keping kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat asam keping, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.



Asam keping atau dikenali sebagai asam gelugor merupakan tumbuhan yang boleh ditemui di kawasan Semenanjung Malaysia, Thailand dan India. Nama saintifik bagi asam keping adalah Garcinia atrovidis dan tergolong dalam keluarga Clusiaceae.


Pokok asam keping mampu mencecah ketinggian sehingga 20 meter dengan batang yang panjang dan ranting yang membengkok ke tanah. Daun pokok asam keping berwarna hijau gelap dan panjang manakala bunganya berwarna merah gelap dan berbentuk bulat.


Bahagian pucuk dan daun pokok asam keping ini pula boleh dimakan secara mentah atau dimasak sebagai sayuran. Di Thailand, asam keping sering dikaitkan dengan sup campuran tomyam yang terkenal kerana rasanya yang pedas dan masam.


Buah asam keping pula berwarna kuning kehijauan dan berbentuk bulat. Buah asam keping yang telah masak ranum akan dihiris, dikeringkan dan digunakan sebagai agen penambah perasa dalam masakan. Asam keping ini memberikan rasa masam dan dijadikan sebagai alternatif kepada asam jawa.


Menariknya, buah asam keping dijadikan salah satu bahan dalam bidang perubatan. Sebagai contoh, dijadikan sebagai ubat untuk merawat sakit perut ketika mengandung dan dijadikan sebagai losyen untuk disapu pada bahagian perut semasa berpantang. Asam keping turut digunakan untuk merawat sakit telinga, batuk, sakit tekak, masalah kelimumur, meningkatkan pengaliran darah dan sebagai ubat julap.



Analisis proksimat dan kandungan mineral telah dijalankan untuk mengkaji kandungan makronutrient dan mikronutrient dalam asam keping. Rajah 1 dibawah menunjukkan analisis proksimat dan komposisi mineral dalam asam keping yang masih segar.



Rajah 1: Analisis Proksimat dan Komposisi Mineral dalam Asam Keping


Kandungan Berkhasiat dalam Asam Keping


Asid Organik


Asam keping mengandungi pelbagai asid organik seperti asid sitrik, asid tartarik, asid malik, asid askorbik, asid pentadekanoik, asid nonadekanoik dan asid dodekanoik.


Asid hidroksisitrik merupakan asid utama dalam asam keping. Pada awalnya, asid hidroksisitrik dalam asam jawa telah dikomersialkan sebagai produk dalam mengawal berat badan. Asid ini memainkan peranan yang penting dalam mengawal selera makan dan mengawal berat badan.


Asid ini menghalang enzim hepatik yang menukarkan karbohidrat berlebihan kepada lemak. Asid ini turut merangsang penghasilan glikogen dalam darah daripada glukos.


Xanthone


Asam keping turut mengandungi xanthone yang dinamakan sebagai atroviridin. Atrovidirin adalah sebatian aktif semula jadi yang menghasilkan pelbagai kesan positif terhadap badan seperti anti mikroorganisma, anti kanser, anti virus, anti kulat, antioksidan dan berupaya untuk melawan penyakit Tuberkulosis.


Atrovidirin turut memberikan kesan anti obesiti dan memecahkan lemak dalam badan, lantas menjadikan asam keping salah satu bahan semula jadi dalam produk untuk mengawal berat badan. Atrovidirin turut menghasilkan kesan anti keradangan dan melindungi badan daripada penyakit kronik.


10 Khasiat Asam Keping dalam Kesihatan


1. Kesan Antioksidan


Salah satu khasiat asam keping adalah ia boleh menghasilkan kesan antioksidan dan beberapa ujian telah dijalankan untuk mengkaji kandungan antioksidan dalam asam keping. Asam keping mengandungi alpha-tokoferol, vitamin E yang merupakan vitamin yang larut dalam lemak.


Alpha-tokoferol merupakan antioksidan fenolik yang menghalang reaksi antara oksigen dan lipid tidak tepu untuk menghasilkan hidroperoksida lipid. Radikal bebas yang terhasil akan menyebabkan disfungsi tisu dan kerosakan kepada sistem tubuh badan.


Keadaan akan lebih serius apabila badan menghasilkan hidroperoksida lipid yang tinggi. Ini kerana hidroperoksida lipid akan menjadikan disfungsi tisu dan kerosakan kepada sistem tubuh badan lebih teruk. Oleh itu, alpha-tokoferol berfungsi untuk melawan radikal bebas untuk mengelakkan daripada oksidasi lipid terhadap oksigen.


2. Kesan Anti Mikroorganisma dan Anti Bakteria


Ekstrak asam keping berupaya dalam melawan mikroorganisma seperti Bacillus subtilis B28, Bacillus subtilis B29, Staphylococcus aureus, Escherichia coli dan Clasdosporium herbarum. Selain itu, asam keping berpotensi dalam membunuh bakteria seperti patogen bakteria, bakteria Gram-positif dan bakteria Gram-negatif.


Kesan anti bakteria amat penting dalam menghalang mikroorganisma dan bakteria yang terdapat pada sistem penghadaman daripada mencetuskan penyakit seperti cirit-cirit, kembung perut dan ketidakselesaan pada perut. Ini kerana asam keping mengandungi kandungan fenolik yang tinggi.


3. Kesan Antikulat


Kajian menunjukkan bahawa ekstrak butanol daripada asam keping menghalang pertumbuhan kulat Cladosporium herbarum. Kulat ini merupakan kulat tumbuhan yang boleh merangsang tindak balas alergi dan serangan asma bagi individu yang sensitif.


Spora Clasdosporium boleh ditemui pada batang pokok, tekstil, getah, kertas dan juga makanan. Spora ini turut ditemui pada lantai, pada karpet, pada tilam, pada lukisan akrilik, penapis dan kipas.


Cladosporium herbarum merupakan spora yang boleh merebak melalui udara dan menyebabkan daging tidak tahan lama walaupun disimpan dalam bekas yang sejuk beku.


4. Membantu Menurunkan Berat Badan


Asid hidrosisitrik atau dipanggil sebagai HCAyang terdapat dalam asam keping membantu dalam menurunkan berat badan dengan mengurangkan selera makan. Asid hidrosisitrik akan mengurangkan komplikasi yang disebabkan oleh obesiti seperti keradangan, tekanan oksidatif dan kerintangan insulin.


Kajian yang lain menunjukkan bahawa asid hidrosisitrik berupaya dalam mengurangkan selera makan, menurunkan berat badan, mengurangkan pengambilan makanan dan meningkatkan proses membakar lemak.


5. Rawatan Tradisional untuk Orang Berpantang


Asam keping dijadikan sebagai rawatan traditional untuk orang berpantang. Asam keping dicampurkan dengan cuka dan dijadikan sebagai losyen untuk disapu pada bahagian perut orang yang berpantang. Selain dijadikan losyen, asam keping turut dijadikan jus dan diminum oleh orang yang berpantang.


Ini kerana asam keping mengandungi kesan anti mikroorganisma dan berupaya untuk membunuh bakteria dan virus yang menyebabkan berlakunya penyakit.


6. Anti Kanser


Kanser, pertumbuhan sel tidak normal yang membiak dan merebak ke seluruh badan disebabkan oleh beberapa faktor. Sebagai contoh, terdedah dengan bahan karsinogen, kerosakan pada genetik, keradangan yang kronik, hormon yang tidak seimbang dan disebabkan oleh tekanan oksidatif.


Asam keping mengandungi sebatian yang dikenali sebagai atroviridison B yang berkesan dalam melawan sel kanser seperti kanser payudara, kanser prostat dan kanser paru-paru. Atroviridison B berperanan dalam proses apaptosis, proses dalam mematikan sel kanser yang merebak dengan cepat.


Proses apoptosis akan melawan protein yang menghalang proses apoptosis dan menghasilkan protein yang membantu proses apoptosis. Satu kajian menunjukkan bahawa esktrak asam keping menghalang pertumbuhan kanser sel kolon berbanding sel normal pada dinding usus.


7. Anti Keradangan


Di samping itu, esktrak asam keping menghasilkan kesan anti keradangan. Keradangan adalah tindak balas sistem imunisasi kepada jangkitan atau gangguan. Kemerahan, panas, bengkak, sakit dan kegagalan organ yang terbabit untuk berfungsi merupakan simptom apabila berlakunya keradangan.


Atrovirinon, sejenis benzoquinone, menghalang penghasilan nitrik oksida dan prostaglandin. Nitrik oksida adalah molekul yang tidak stabil dan boleh dipecahkan dengan cepat didalam saluran darah. Prostaglandin pula adalah lipid yang dihasilkan pada bahagian tisu yang rosak atau jangkitan yang disebabkan oleh sakit dan luka.


Prostaglandin mengawal proses seperti keradangan, pengaliran darah, penghasilan darah beku dan merangsang untuk bersalin. Nitrik oksida merangsang prostaglandin, dan boleh menyebabkan keradangan menjadi kronik apabila dihasilkan dengan terlalu banyak.


8. Mengawal Paras Kolesterol Dalam Badan


Kajian menunjukkan asam keping mengandungi kalium hidroksisitrat untuk mengurangkan paras kolesterol dalam badan. Satu kajian terhadap haiwan dijalankan menunjukkan bahawa ekstrak asam keping berjaya mengurangkan paras LDL-kolesterol (kolesterol jahat) dan meningkatkan paras HDL-kolesterol (kolesterol baik).


Selain itu, pembentukan lemak dalam saluran aorta juga berkurangan. Ekstrak asam keping turut mengurangkan tekanan oksidatif yang berpotensi untuk mengurangkan risiko penyakit atherosklerosis.


9. Menghalang Penyakit Osteoartritis


Penyakit osteoartritis adalah sakit pada bahagian sendi lutut yang menyebabkan lutut tidak berupaya untuk bergerak dengan pantas mengelak dari sebarang halangan. Penyakit ini dipengaruhi oleh jantina, genetik, etnik dan aktiviti harian.


Satu kajian dijalankan yang melibatkan pesakit osteoartritis dimana kumpulan ini diberikan satu dos ekstrak asam keping setiap hari selama enam minggu. Ekstrak asam keping bertindak lebih cepat dalam melegakan kesakitan berbanding plasebo.


Ekstrak asam keping mengandungi kesan analgesik dan kesan anti keradangan yang positif. Esktrak asam keping boleh dijadikan sebagai alternatif kepada pesakit osteoartritis. Namun demikian, untuk pesakit osteoartritis yang mengambil ubat tidak disarankan untuk mengambil ekstrak asam keping sebagai sumber perubatan utama. Ubat mestilah diambil dan ekstrak asam keping hanya dianggap sebagai makanan tambahan.


10. Mengawal Paras Gula Dalam Badan


Asam keping turut membantu dalam mengawal paras gula dalam badan kepada paras yang normal. Satu kajian yang dijalankan pada orang dewasa yang normal dan menunjukkan bahawa paras gula dalam darah menurun.


Kajian lain yang melibatkan haiwan menunjukkan bahawa asam keping menurunkan paras leptin dan insulin serta meningkatkan proses pemecahan gula dalam darah. Asid hidrosisitrik mengurangkan penyerapan gula ke dalam saluran darah dan merendahkan paras gula selepas makan.


Selain itu, asid hidrosisitrik membantu dalam mengurangkan paras gula dan insulin semasa berpuasa serta mengelakkan berlakunya rintangan insulin. Hidrosisitrik asid meningkatkan penyimpanan gula dalam sel otot dan meningkatkan sensitiviti insulin.


Kesimpulannya, asam keping mengandungi pelbagai bahan aktif yang menjadi sumber untuk mengelakkan berlakunya sebarang penyakit dan untuk merawat penyakit. Selain daripada berpotensi dalam membantu mengurangkan berat badan, asam keping turut memberikan khasiat yang lebih meluas terhadap kesihatan.


Kajian yang lebih meluas dan mendalam perlu dilakukan untuk mengkaji kesan positif asam keping pada kesihatan tubuh badan. Langkah ini perlu dijalankan untuk menghasilkan lebih banyak produk kesihatan yang berasaskan asam keping.


SUMBER

Share this:

 
DMCA.com Protection Status

HakCipta © 2010- Sekejung.com | Dimiliki Oleh Sekejung Network(003413624-V)