Apakah khasiat buah durian kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat buah durian, kandungan nutrisi dan juga komponen sihat di dalam durian.
Durian merupakan sejenis buah yang terkenal dengan nama panggilannya, raja buah. Durian atau nama saintifiknya Durio berasal dari keluarga Malvaceae dan terkenal di negara Malaysia dan Thailand. Buah ini mempunyai kulit yang berduri dan isinya pula berwarna putih atau kuning bergantung kepada jenis durian tersebut.
Untuk baunya pula, ada yang mengatakan ianya berbau harum dan ada sesetengah pihak melabel buah ini mempunyai bau yang tidak menyenangkan, bergantung kepada penerimaan masing-masing. Durian digunakan secara meluas di dalam industri pembuatan makanan contohnya di dalam penghasilan ais krim, kek, keropok atau snek ringan dan lain-lain.
Namun begitu, tidak ramai yang tahu akan kebaikan yang ditawarkan oleh buah ini terhadap kesihatan. Oleh itu, artikel ini akan mengupas dengan lebih lanjut akan khasiat buah durian.
Kandungan makronutrisi yang terdapat pada setiap 100 g buah durian. Setiap 100 g buah durian mampu menyumbang sebanyak 153 kcal tenaga. Terdapat sebanyak 27.9 g karbohidrat, iaitu hampir 2 tukaran karbohidrat (1 tukaran karbohidrat = 15 g karbohidrat). Ianya juga mengandungi sebanyak 0.9 g serat, 2.7 g protein dan 3.4 g lemak.
Buah durian juga kaya dengan kandungan mikronutrisinya. Setiap 100 g durian, terdapat sebanyak 40 mg kalsium, 1.9 mg zat besi, 40 mg natrium, 70 mg kalium, 44 mg fosforus, 23.3 mg vitamin C dan 150 µg karotin.
Komponen Berkhasiat Buah Durian
1. Karotenoid
Karotenoid adalah komponen yang boleh didapati pada tumbuhan, buah-buahan dan sayur-sayuran dan terdiri daripada pelbagai jenis. Ianya adalah sejenis pigmen menyumbang kepada warna terang yang terdapat pada sayur dan buah-buahan. Antara kelebihan karotenoid adalah bersifat anti oksida.
2. Polifenol
Polifenol adalah sejenis sebatian organik yang boleh didapati pada tumbuhan. Terdapat pelbagai jenis polifenol yang ditemui dan setiap satunya mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Antara sifat polifenol adalah anti radang dan anti oksida.
3. Flavonoid
Seperti karotenoid, flavonoid adalah sejenis elemen yang juga menyumbang kepada warna yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan di samping bersifat anti oksida.
Khasiat Buah Durian Kepada Kesihatan
1. Bersifat anti-diabetik
Di dalam satu kajian percubaan klinikal yang dijalankan ke atas haiwan, didapati bahawa pemberian ekstrak durian terhadap haiwan tersebut secara oral penunjukkan penurunan gula di dalam darah yang signifikan. Hal ini dapat dijelaskan dengan kandungan serat di dalam durian yang melambatkan peningkatan gula di dalam darah. Selain itu, kajian turut mendapati bahawa durian mempunyai indeks glisemik yang rendah.
Tetapi jika anda sudah mengalami penyakit kencing manis, maka anda masih perlu mengambil buah in dalam keadaan terkawal
2. Membantu penghadaman
Durian mempunyai kandungan serat yang mampu untuk melancarkan pergerakkan usus dan penghadaman. Hal ini kerana serat akan meningkatkan isipadu kandungan di dalam usus dan meransang proses peristalsis (pergerakkan usus) untuk mengelakkan sembelit.
3. Mengurangkan paras kolesterol
Di dalam satu kajian yang dijalankan ke atas haiwan, didapati bahawa pengambilan durian dapat mengurangkan paras kolesterol dan LDL (kolesterol tidak baik) di dalam darah. Hal ini boleh dijelaskan dengan komponen serat yang terdapat di dalam durian. Serat merupakan komponen yang terbukti berkesan untuk mengurangkan paras kolesterol di dalam darah.
4. Mencegah anemia
Durian adalah salah satu buah yang kaya dengan kandungan zat besi. Zat besi adalah elemen yang penting diperlukan untuk pembentukkan sel darah merah. Kekurangan sel darah merah dapat menyebabkan anemia di mana pesakit mengalami kekurangan sel darah merah dan sering keletihan.
5. Kaya dengan vitamin C
Jika dirujuk pada jadual komposisi di atas, setiap 100 g durian mneyumbang lebih kurang 23.3 mg vitamin c. ini menunjukkan bahawa durian mempunyai komposis vitamin c yang tinggi. Pengambilan vitamin c yang mencukupi dapat mencegah penyakit skurvi (kekurangan vitamin c) dan meningkatkan sistem imunisasi badan.
6. Meningkatkan mood
Durian mengandungi amino asid tryptophan. Tryptophan adalah sejenis amino asid yang akan meningkatkan paras serotonin, sejenis hormon yang bertanggungjawab untuk menaikkan mood dan menjadikan sesorang itu gembira.
7. Mengawal tekanan darah
Durian adalah sejenis buah yang kaya dengan kandungan kalium. Kalium berfungsi untuk menurunkan paras tekanan darah melalui pengembangan salur darah. Namun begitu, pengambilannya haruslah secara bersederhana.
8. Meningkatkan kualiti tidur
Seperti yang dinyatakan diatas, durian mengandungi mengandungi tryptophan. Selain berfungsi untuk meningkatkan paras serotonin, tryptophan juga mampu meningkatkan paras melatonin. Melatonin berfungsi untuk mengawal kitaran tidur di mana paras melatonin yang tingi berkait dengan kualiti tidur yang baik.
9. Baik untuk kesihatan tulang
Berdasarkan jadual komposisi di atas, durian mengandungi pelbagai makronutrisi seperti zat besi, kalsium dan fosforus. Kesemua makronutrisi ini penting untuk pembentukkan tulang yang sihat.
10. Membekalkan tenaga
Buah durian adalah sejenis buah yang kaya dengan kandungan karbohidrat. Karbohidrat berfungsi untuk membekalkan tenaga kepada tubuh badan. Pengambilan durian dapat membekalkan tenaga dengan segera kerana kandungan karbohidrat dan gula buah yang terdapat padanya.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai khasiat yang ditawarkan buah esotik ini. Namun haruslah diingat bahawa pengambilannya haruslah secara sederhana terutamanya bagi penghidap penyakit diabetes kerana kandungan gula yang terdapat di dalamnya.
SUMBER
Catat Ulasan