“Puan X amat terperanjat semasa membuang air besar pada hari tersebut. Dia mendapati seekor cacing yang panjangnya hampir 15cm keluar daripada duburnya.
Risau dengan keadaan itu, Puan X pergi mendapatkan rawatan di klinik berhampiran. Doktor bertanyakan sama ada dia pernah mengalami beberapa simptom seperti mudah berasa letih, kembung perut serta kegatalan pada lubang dubur.
Puan X mengakui mempunyai kesemua symptom itu. Doktor juga mendapati wajah Puan X agak pucat. Pemeriksaan darah mendapati Puan X mempunyai anemia.
Orang dewasa juga tidak terkecuali daripada jangkitan cacing atau kecacingan. Ia merupakan suatu masalah yang biasa berlaku tetapi sering terlepas pandang. Antara cacing yang biasa menjangkiti manusia adalah seperti Cacing gelang, cacing pita, cacing cambuk, cacing benang dan cacing kerawit.
Di negara-negara belum membangun, punca utama jangkitan cacing adalah daripada sistem sanitasi dan pembentungan yang mundur. Contohnya di kalangan masyarakat yang masih mengamalkan membuang air besar di atas tanah atau di dalam sungai.
Telur cacing di dalam najis akan menjangkiti individu yang terdedah kepada tanah atau sumber air yang tercemar ini.
Walaupun dikategorikan sebagai negara membangun, Malaysia tidak terkecuali daripada masalah jangkitan cacing kerana Malaysia mempunyai iklim tropika yang sesuai sebagai habitat cacing.
Oleh yang demikian, kita boleh terdedah kepada jangkitan cacing melalui pelbagai cara. Antara punca utama berlakunya jangkitan cacing :
1) Tidak membasuh tangan dengan sempurna sebelum makan.
2) Memakan unsur daging yang mentah atau tidak dimasak sempurna.
3) Tidak membasuh sayuran dan buah-buahan dengan sempurna.
4) Minum atau menggunakan air tercemar / tidak terawat.
4) Jangkitan daripada haiwan peliharaan.
5) Berkaki ayam sewaktu berjalan di atas tanah.
Cacing adalah parasit yang boleh hidup bertahun-tahun di dalam tubuh manusia dengan bergantung kepada sumber makanan di dalam usus manusia. Oleh itu, kecacingan akan menyebabkan masalah kesihatan yang berpunca akibat kekurangan zat makanan seperti anemia (kurang darah merah),susut berat badan, pertumbuhan terbantut (di kalangan kanak-kanak) dan sistem imun tubuh yang lemah (mudah dijangkiti penyakit).
Cacing juga merembeskan sisa toksin ke dalam tubuh manusia yang boleh menimbulkan simptom seperti gatal-gatal, keresahan (anxiety) dan masalah pada sistem penghadaman (kembung, loya, cirit-birit).
Jangkitan yang kronik selama bertahun-tahun boleh menyebabkan cacing berkembang biak di dalam usus manusia. Ini seterusnya boleh menyebabkan masalah kesihatan di atas menjadi lebih teruk. Ia juga boleh menyebabkan usus tersumbat!
DIAGNOSIS
1)Sampel najis akan diperiksa melalui mikroskop untuk mengesan kehadiran telur cacing.
2)Diagnosis yang tidak boleh disangsikan lagi apabila CACING KELUAR DARIPADA DUBUR ! Ini boleh dilihat sama ada semasa membuang air besar atau di sekeliling dubur.
MITOS
1) Kecacingan hanya berlaku pada kanak-kanak.
Sebagaimana situasi yang berlaku pada Puan X, ia boleh berlaku kepada mana-mana orang dewasa yang lain.
2)Kecacingan tidak berjangkit.
Cacing memang tidak boleh menjangkiti individu lain secara terus. Namun, terdapat pelbagai cara tidak langsung yang boleh menyebabkan jangkitan cacing tersebar dari satu individu kepada individu yang lain contohnya pemindahan telur cacing kepada individu lain melalui sentuhan atau suapan makanan. Juga, apabila mereka berkongsi makanan yang telah tercemar.
Oleh itu, jika seseorang telah didiagnos mendapat jangkitan cacing, AHLI KELUARGANYA JUGA PERLU DIRAWAT (DEWORMING).
3)Cacing hanya di dalam usus.
Ada jenis cacing yang boleh memasuki salur darah dan tinggal di bahagian-bahagian lain anggota badan seperti mata, di bawah kulit, hati, paru-paru (Loeffler’s disease) dan otak (cycsticercosis).
Kecacingan juga boleh berlaku pada organ lain termasuk mata
APA YANG PERLU DILAKUKAN ?
1)“Deworming” (Pembasmian cacing):
- Perlu dilakukan setiap enam bulan sekali untuk mengelakkan jangkitan cacing. Ubat cacing boleh didapati di farmasi.
- Walaubagaimanapun, seseorang yang sudah dijangkiti perlu mengambil ubat ini mengikut preskripsi doktor.
2)Tingkatkan kebersihan diri dan persekitaran:
- Basuh tangan dengan sempurna (terutama di celah dan di bawah kuku) sebelum makan dan setiap kali masuk ke dalam rumah.
- Gunakan kasut/selipar semasa di luar rumah.
3)Tingkatkan kebersihan semasa penyediaan dan pengambilan makanan:
- Masak unsur daging dan ikan dengan sempurna.
- Basuh sayur dan buah-buahan dengan sempurna.
- Minum air yang telah dimasak atau ditapis dengan sempurna.
- Pastikan system penapisan air kerap diselenggara.
4) Utamakan aspek kebersihan dalam pemeliharaan haiwan:
- Haiwan peliharaan juga perlu menjalani “deworming”.
- Gunakan sarung tangan semasa membersihkan sisa tinjaan haiwan peliharaan.
- Basuh tangan selepas menyentuh haiwan peliharaan.
- Elakkan daripada dijilat haiwan.
"Kecacingan" kita semua berisiko untuk mendapatnya. Amalkan langkah-langkah pencegahan di atas untuk diri dan ahli keluarga kita.
SUMBER
Catat Ulasan